Wednesday 1 October 2014

Pengenalan Diri

Teks & Gambar : Iszuraini Ismail

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
 
Assalamualaikum w.b.t.
 
Selamat datang dan terima kasih kerana sudi melawat blog saya. Salam perkenalan buat anda semua. Nama penuh saya Iszuraini Binti Ismail. Lebih mesra dengan panggilan Nini ataupun Isz dan Iszu. Seorang isteri dan mama kepada 4 orang anak. Dilahirkan pada 22 Julai 1983 di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan rendah dan menengah yang juga di sekitar Kuala Lumpur dan di daerah negeri Selangor. 
 
Saya menyambung pelajaran ke peringkat Matrikulasi Perakaunan di Kolej Shahputra-Pekan, Pahang dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Di bumi Sintok, Kedah ini jugalah saya bertemu jodoh saya iaitu suami saya yang kini dan untuk selamanya. In sha Allah.
 
Alhamdulillah kami selamat dinikahkan pada 26 Disember 2008 dan kini masuk tahun ke-6 kami melayari bahtera rumahtangga dengan dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu Hannan Nusaybah, Haddad Haidar, Hayyan Haq dan Hannah Thuwaybah. Saya kini sedang berpantang melahirkan anak yang ke-4 dalam kiraan hari yang ke-21.
 
Mula mendapat pekerjaan sebagai 'Penolong Pengurus' pada Jun 2006 di sebuah bank di Kuala Terengganu dan berkhidmat selama 3 tahun di sana. Kemudiannya berpindah ke cawangan bank yang sama di Miri, Sarawak pada Februari 2010 selepas habis berpantang anak yang pertama.
 
Tuntutan kerjaya sebagai seorang pegawai bank memang agak mencabar. Ditambah lagi dengan urusan rumah tangga yang memerlukan saya membahagikan masa untuk suami dan anak-anak. Hidup di perantauan berjauhan dengan keluarga membuatkan saya ingin lebih berdikari membesarkan anak-anak di hadapan mata sendiri. Alhamdulillah hasrat saya untuk berhenti kerja pada Julai 2013 disokong oleh suami.

Sebenarnya hasrat saya ingin berhenti kerja sudah pun terdetik semenjak awal saya mula berkenalan dengan 'SHAKLEE'. Bermula pada Ogos 2011 ketika saya masih menyusukan anak yang ke-2. Perniagaan Shaklee yang pada awalnya hanya dijalankan separuh masa pada ketika itu, mula menampakkan hasil dan minat yang mendalam pada diri saya tentang perniagaan. Bertitik tolak dari situlah, saya mula memasang niat untuk menjadi seorang 'WAHM'. Kini, sasaran saya selepas berhenti kerja adalah ingin menjana pendapatan lima angka seterusnya mencapai tahap kebebasan kewangan melalui perniagaan Shaklee. Segalanya tidak mustahil bagi saya. Doakan saya berjaya mencapai impian ini.

Justeru melalui penulisan saya di blog ini, akan saya kongsikan segala tip dan panduan antaranya mengenai kesihatan, kecantikan, penyusuan dan kehamilan menurut pengalaman, minat dan pembacaan saya. Semoga ianya dapat memberi manfaat dan motivasi buat kita semua disamping menambahbaik penulisan saya dari semasa ke semasa.

Sekian sahaja, serba sedikit mengenai kisah saya.

Salam Hannan & Hannah dari saya.

Aidilfitri 2014 / Syawal 1435H
Ketika ini mama mengandungkan baby Hannah, 32 minggu (8 bulan)



No comments:

Post a Comment